Friday, August 1, 2008

Semasa berada di Tanah Suci Mekah pada Julai 2008.

Peserta KDP 14 M (KPM/OUM)

Pastikan tugasan yang diberikan disiapkan dengan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Prasekolah KPLI

Unit 1:
FALSAFAH DAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
SINOPSIS: Unit ini membincangkan tentang konsep pendidikan awal kanak-kanak dan matlamat serta objektif pendidikan prasekolah. Di dalam unit ini juga diterangkan tentang falsafah dan pandangan tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak, perkembangan pendidikan prasekolah sama ada di luar negara dan di Malaysia. Seterusnya, unit ini membincangkan mengenai Akta Pendidikan 1996 dan hak asasi kanak-kanak.



HASIL PEMBELAJARAN:
Setelah mengikuti unit ini, anda akan dapat:


· Menghuraikan konsep pendidikan awal kanak-kanak, matlamat dan objektif pendidikan prasekolah.
Menjelaskan falsafah dan pandangan tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak serta perkembangan pendidikan prasekolah di luar negara dan di Malaysia.
Menghuraikan Akta Pendidikan 1996 (Fasa 15, 20, 21, 22, 23 dan 24) dan hak asasi kanak-kanak.










RINGKASAN UNIT

1.0 Pengenalan

1.1 Konsep Pendidikan Awal Kanak-Kanak
· Konsep Pendidikan Prasekolah di Malaysia
· Matlamat Pendidikan Prasekolah
· Objektif Pendidikan Prasekolah

1.2 Falsafah dan Pandangan Tokoh-Tokoh Pengasas Pendidikan Awal Kanak- kanak:
· Johann Heinrich Pestalozzi, John Dewey, Friedrich Froebel, Maria Montessori, Imam Al-Ghazali, Ibnu Khaldun

1.3 Perkembangan Pendidikan Prasekolah
Perkembangan pendidikan prasekolah di luar negara
Perkembangan pendidikan prasekolah di Malaysia

1.4 Akta Pendidikan 1996:
FASA 15 , 20, 21, 22, 23, dan 24.

1.5 Hak Asasi Kanak-Kanak








1.0 PENGENALAN


Kita bermula dengan perbincangan konsep pendidikan awal kanak-kanak khas dengan melihat matlamat serta objektif pendidikan prasekolah. Kemudian tumpuan diberikan tentang falsafah dan pandangan tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak serta sejarah perkembangan pendidikan prasekolah di luar negara dan di Malaysia. Seterusnya, unit ini membincangkan Akta Pendidikan 1996 dan hak asasi kanak-kanak .














·

Aktiviti : 1.1
Sebelum anda mula membaca, nyatakan apa yang anda fahami dengan istilah pendidikan awal kanak-kanak dan istilah pendidikan prasekolah ? Adakah kedua-dua istilah ini sama ertinya ?





1.1 KONSEP PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Awal kanak-kanak ialah isitlah yang merujuk kepada tempoh masa kanak-kanak dari masa lahir hingga ke umur lapan tahun. Mengikut ‘ The National Association for The Education of Young Children (NAEYC) atau Pertubuhan Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-Kanak Muda, pendidikan awal kanak-kanak merujuk kepada segala program pendidikan yang memberi layanan, asuhan dan bimbingan kepada kanak-kanak dari lahir hingga ke umur lapan tahun:

“The term early childhood refers to the period from birth to age eight,………Early childhood program provide services for children from birth through age eight in part day and full day group programs in centers, home and institution kindergartens and primary school and recreational program”. (Morrison, m.s. 24)


1.1.1 Konsep Pendidikan Prasekolah Di Malaysia
Konsep pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia adalah mengikut dua peringkat berdasarkan tahap umur kanak-kanak. Peringkat yang pertama ialah Taman Asuhan Kanak-kanak atau Taska untuk kanak-kanak yang bawah 4 tahun. Peringkat kedua ialah Prasekolah atau Tadika untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Tadika adalah sebenarnya akronim untuk Taman Didikan Kanak-kanak. Untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan, mereka menamakan program awal kanak-kanak mereka sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak atau pun Tabika secara ringkas.
Oleh itu, Pendidikan Prasekolah adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun dalam jangka masa satu tahun sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolah formal.
Aktiviti: 1.2

Apakah perbezaan di antara istilah-istilah ini: Taska, Tadika dan Tabika?




UMUR KANAK-KANAK
PROGRAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Bawah 4 tahun
TASKA
(Taman Asuhan Kanak-kanak)
4 – 6 tahun
Prasekolah atau Tadika
(Tabika untuk KEMAS dan Jabatan Perpaduan)


Jadual 1: Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia

1.1.2 Matlamat Pendidikan Prasekolah
Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah rendah

1.1.3 Objektif Pendidikan Prasekolah
Pendidikan Prasekolah membolehkan murid:
1. Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep kendiri yang positif untuk
menjadi warganegara yang patriotik.

2. Menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dan memperkembangkan kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi.
3. Menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dengan betul untuk berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
4. Menggunakan Bahasa Inggeris dalam interaksi seharian selaras dengan
kedudukan sebagai bahasa kedua.
5. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
6. Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
7. Mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran berfikir dan kemahiran
menyelesaikan masalah.
Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial.
Mempunyai kecerdasan dan kemahiran fizikal serta mempraktikkan amalan
kesihatan dan keselamatan yang baik.
Mempunyai daya kreatif dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan
warisan budaya.
Aktiviti: 1.3

a) Jelaskan matlamat pendidikan prasekolah di Malaysia.
b) Senaraikan lima objektif pendidikan prasekolah.










TUTORIAL

1

a) pengertian Pendidikan Awal kanak-kanak dalam perkataan anda sendiri. Banding dan bezakan antara Taska dengan Tadika.

b) Bahaskan ”Pengalaman pendidikan awal kanak-kanak adalah penting untuk kanak-kanak”.





1.2 FALSAFAH DAN PANDANGAN TOKOH-TOKOH PENGASAS
PENDIDIKAN AWAL KANAK- KANAK


Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Pada pandangan anda, adakah pandangan ahli falsafah mempengaruhi pembentukan kurikulum untuk kanak-kanak pada peringkat awal?

Tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak adalah terdiri daripada:
1. Imam Al-Ghazali
2. Ibnu Khaldun
3. Johann Heinrich Pestalozzi
4. Friedrich Froebel
5. Maria Montessori
6. John Dewey
7. Martin Luther
8. John Amos Comenius
9. Jean Piaget
10. Vygotsky

1.2.1 IMAM Al-GHAZALI
Dilahirkan pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masehi di sebuah kampung bernama Ghazalah Daulayah Qursan di Negeri Parsi. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Tahun 484 hijrah beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah. Pada tahun 489 hijrah, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria dan ke Mekah. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.

IMAM Al-GHAZALI





Pandangan dan idea-idea beliau:
Kanak-kanak diasuh mengikut 2 peringkat tahap umur iaitu;
a. Sejak lahir hingga 4 tahun
b. 5 tahun hingga 7 tahun
Kandungan kurikulum meliputi latihan jasmani, sukan, adap pertuturan, keperibadian dan budi pekerti yang mulia.
Seorang kanak-kanak harus dididik sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali wanita yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya.
Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.
Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.
Bersikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka.
Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan mencemuh dan menimbulkan kebencian mereka.
Memperelokkan fitrah dan membentuk naluri mereka.
Suruh kanak-kanak bermain kerana main pada kanak-kanak dapat:
- Membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otok mereka.
- Sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
- Dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas penat belajar.
Nasihat beliau kepada guru supaya:
- Mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak.
- Memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak mereka.
- Guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan model tingkah laku yang baik.


1.4
Apakah perbezaan di antara pandangan tokoh-tokoh Timur dengan tokoh-tokoh Barat?
1.2.2 IBNU KHALDUN

Ibnu Khaldun merupakan seorang pemikir Islam yang terakhir pada zaman pertengahan telah menasihatkan ibubapa dan golongan pendidik.
Beliau banyak memperkatakan mengenai persediaan untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan, perbezaan individu dan latihan.

IBNU KHALDUN

Pendapat beliau pada peringkat permulaan:
Jangan diajar kanak-kanak dengan perkara-perkara yang susah.
Belajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara:
- Berperingkat-peringkat
- Mengadakan latih tubi
- Menggunakan benda-benda maujud
- Menggunakan bahan-bahan bantu mengajar
Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka:
- tidak mahu belajar
- mencerca pengajaran yang diberi
Beliau mencadangkan kanak-kanak di peringkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancaindera mereka.
Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan lain-lain.
Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.
Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.


Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.
Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan makna.
Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

1.2.3 JOHANN HEINRICH PESTALOZZI (1746 – 1827)

Beliau dilahirkan di Zurich, Swizerland. Beliau membuka sebuah sekolah di ladangnya dikenali dengan nama “Neohof” pada tahun 1774. Di sekolah itu diintegrasikan kehidupan di rumah, pendidikan vokasional dan pendidikan untuk bacaan dan tulisan.

JOHANN HEINRICH PESTALOZZI



Idea-idea beliau mengenai pendidikan:
Anak-anak perlu dibimbing secara perlahan-lahan berdasarkan potensi yang ada padanya. Bimbingan itu perlu bermula daripada pengalaman deria kepada idea yang abstrak.
Percaya bahawa pendidikan adalah diasaskan kepada pengalaman-pengalaman deria. Melalui pengalaman itu kanak-kanak boleh mencapai potensi mereka yang semulajadi.
Beliau percaya pengajaran boleh dibentuk berdasarkan objek. Oleh itu, pembelajaran konsep hendaklah dengan melalui manipulatif seperti membilang, mengukur, merasa dan menyentuh.
Guru yang baik ialah guru yang mengajar kanak-kanak bukan mengajar mata pelajaran.
Beliau juga percaya kepada kumpulan pelbagai umur. (multiage grouping).
Beliau yakin bahawa ibu adalah orang yang terbaik untuk mengajar anaknya.



1.2.4 FRIEDRICH FROEBEL (1782 – 1852)

Seorang tokoh pendidikan dari Jerman. Beliau digelar sebagai “Bapa Tadika”. Pada tahun 1837, beliau menubuh sekolah taman kanak-kanak yang dinamakan “Kindergarten”. Beliau adalah seorang yang kuat beragama dan menganggap manusia secara semulajadinya adalah baik dan dunia adalah tempat bekerja dan manifestasi terhadap Tuhan.



FRIEDRICH FROEBEL

Menurut beliau kanak-kanak umpama biji benih, ibu bapa dan pendidik umpama tukang kebun, kindergarten pula ialah taman untuk kanak-kanak. Oleh itu kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran yang terancang dan kanak-kanak berkembang melalui main”

Antara idea-idea Froebel ialah:

Taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak. Sekurang-kurangnya ia dicat dengan warna yang terang, mempunyai bilik yang senang dimasuki cahaya, dipenuhi dengan taman-taman, binatang dan gambar-gambar.

Dilengkapi dengan kerusi meja yang sesuai untuk kanak-kanak. Keadaan bilik janganlah sempit kerana menyusahkan perjalanan aktiviti.

Kelas prasekolah perlu dipenuhi dengan pemandangan, bunyi-bunyian dan objek-objek untuk kanak-kanak yang mempunyai bentuk yang mudah, saiz dan warna.

Suasana di taman kanak-kanak hendaklah dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi.

Di taman kanak-kanak perlu dipupuk dengan perkembangan mental, fizikal dan sosial kanak-kanak.

Taman kanak-kanak merupakan satu pendekatan terhadap latihan kanak-kanak.

Pendidikan adalah pembinaan watak atau peribadi kanak-kanak. Ia hendaklah berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan kanak-kanak.

Menurut beliau, kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui perbuatan. Ia perlu diberi kebebasan.

Beliau menekankan kaedah bermain kepada kanak-kanak dan belajar melalui membuat.

Beliau mencadangkan dalam mendidik kanak-kanak perlu menggunakan objek supaya menimbulkan minat dalam pembelajarannya.

Beliau menekankan disiplin diri terhadap kanak-kanak dan motivasi dalaman adalah penting bagi kanak-kanak.

Pembelajaran bukanlah sesuatu yang terpisah dan ia saling berkaitan antara satu sama lain.


Aktiviti: 1.5

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep “Taman Kanak-kanak” yang dinyatakan oleh Froebel?






1.2.5 MARIA MONTESSORI (1870 – 1952)

Maria Montessori merupakan doktor wanita pertama di Italy dan seorang tokoh pendidikan di Rome yang berpengalaman mendidik kanak-kanak yang terencat akal. Pada tahun 1899, beliau menubuhkan sekolah kanak-kanak cacat di Rome. Montessori menyokong Froebel dalam pendapat membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Beliau mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran dan sentuhan yang bertujuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pengalaman dan latihan menggunakan deria dengan cekap.
MARIA MONTESSORI

Beliau berpendapat dalam mendidik kanak-kanak ia mestilah menghormati kanak-kanak dan haknya. Oleh itu, persekitaran yang terancang, kemahiran hidup, disiplin diri dan arahan adalah prinsip penting dalam pendidikan kanak-kanak. Menurut beliau, pendidikan adalah untuk menolong kanak-kanak membentuk serta membantu perkembangan intelek, fizikal, sosial, emosi dan rohani. Montessori mengemukakan beberapa konsep asas dalam pembentukan kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal. Antaranya adalah konsep berikut;

a. Minda yang mudah menyerap
Menurut Montessori, minda kanak-kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka bersedia untuk diajarkan konsep tersebut. Seorang kanak-kanak mula menyerap kejadian yang berlaku di sekelilingnya dan menyusun pengalaman ini daripada saat kelahiran lagi.

b. Persekitaran yang tersedia
Persekitaran yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak adalah persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong pembentukan konsep dan pengetahuan kanak-kanak apabila kanak-kanak memerlukannya. Peranan guru adalah menunjuk ajar cara menggunakan bahan pembelajaran tersebut pada masa yang sesuai.

c. Didikan diri
Kanak-kanak mampu menjelaskan persepsi mereka dan menyusun pengalaman melalui aktiviti yang sesuai, apabila persekitaran mereka disusun secara lengkap dengan pelbagai bahan pembelajaran yang menarik. Kanak-kanak berkebolehan menyusun pengetahuan mereka apabila mereka terlibat dalam sesuatu aktiviti pembelajaran. Guru tidak perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar dan membimbing mereka dalam pemilihan bahan dan aktiviti.

d. Bahan pembelajaran
Guru hanya menunjuk ajar cara yang “betul” bagaimana menggunakan bahan tersebut selepas kanak-kanak memilih aktiviti pembelajarannya secara bebas dan sukarela. Mengikut Montessori, matlamat kurikulum pada peringkat awal adalah bagi memajukan diri kanak-kanak daripada segi; penumpuan perhatian; kemahiran memerhati dan meneliti; kesedaran berkenaan susunan dan peraturan; keseimbangan pergerakan; kesedaran persepsi dan kemahiran praktikal; konsep Matematik; kemahiran bahasa; kemahiran menulis dan membaca; kebiasaan dengan seni kreatif; pemahaman berkenaan alam semulajadi; pengalaman dan pemahaman berkenaan sains sosial; pengalaman menggunakan kemahiran berfikir secara kritis melalui pengalaman menyelesaikan sesuatu masalah.

e. Tempoh sensitif
Tempoh sensitif adalah tempoh yang paling sesuai untuk kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat dikesan apabila kanak-kanak menunjukkan kesediaan dan minat bagi mempelajari sesuatu kemahiran dengan sentiasa menanya soalan dan sentiasa tertarik bagi memerhati dan menyentuh sesuatu bahan pembelajaran.

Menurut falsafah Montessori;

Ibu bapa patut diberi latihan dalam perkembangan kanak-kanak dan cara menggunakan pengetahuan ini dalam membimbing anak mereka.

Terdapat tempoh sensitif yang merupakan masa paling sesuai bagi kanak-kanak menerima maklumat dan konsep tertentu. Tempoh sensitif ini berbeza mengikut kadar perkembangan seseorang kanak-kanak.

Kanak-kanak mampu melatih diri sendiri, dengan bimbingan yang minimum daripada orang dewasa.
Kanak-kanak yang biasa berdikari dalam proses pembelajaran akan terus belajar secara demikian apabila dewasa kelak.
Maklumat yang diterima melalui deria adalah maklumat asas dalam semua jenis pembelajaran.
Bahan pembelajaran yang dibentukkan oleh Montessori melatihkan kanak-kanak berdikari dalam mengurus diri dan persekitarannya melalui pengalaman sebenar dan kegunaan bahan manipulatif dan “betul diri”.
Guru akan meningkat pengetahuan mereka melalui pengalaman dengan kanak-kanak.
Kanak-kanak memerlukan persekitaran dan alat pembelajaran yang tersusun dan bersaiz kanak-kanak.
Guru perlu menyediakan persekitaran yang lengkap bagi membantu kanak-kanak belajar secara bebas.
Peranan guru hanya membantu kanak-kanak, bukan memaksa ataupun menentu arah pembelajaran mereka.

Bagi mencapai matlamat ini, terdapat beberapa prinsip dalam kaedah Montessori iaitu berdasarkan kepercayaan beliau terhadap pendidikan awal kanak-kanak. Antaranya ialah:
- Menghormati kanak-kanak dan hak mereka.
- Konsep kebebasan
- Menguasai kemahiran dari mudah ke sukar
- Kanak-kanak dididik secara bersepadu dan menyeluruh
- Kanak-kanak melakukan aktiviti arahan kendiri.
- Pentingnya disiplin diri
- Terdapat tempoh sensitif yang berbeza bagi setiap kanak-kanak
- Kanak-kanak menyerap masuk pengetahuan dan menggunakanya. Kanak-kanak mengajar diri mereka sendiri.
- Kanak-kanak belajar dengan lebih baik dalam persekitaran yang disediakan hendaklah membolehkan kanak-kanak belajar secara sendiri.

Aktiviti: 1.6

Nyatakan konsep asas dalam pembentukan kurikulum awal kanak-kanak oleh Maria Montessori?








1.2.6 JOHN DEWEY ( 1859 – 1952 )

Tokoh falsafah yang terkenal di Amerika. Beliau berpendapat bahawa pendidikan adalah penghidupan tidak semata-mata persediaan untuk hidup tetapi pendidikan adalah satu proses sosial yang mempunyai segala ilmu, pengalaman, teori, pemikiran dan kenyataan kepada kanak-kanak.

JOHN DEWEY
Beliau memperkenalkan kaedah projek kepada kanak-kanak kerana kaedah ini berkait rapat dengan aktiviti dan gerak kerja kanak-kanak. Menurut beliau, kanak-kanak haruslah berusaha ke arah mencapai kejayaan. Pada pandangan beliau, dalam menyampaikan pelajaran kepada kanak-kanak, guru perlu memulakan dengan kumpulan kecil, kemudian seorang demi seorang. Menurut beliau, pendidikan yang sebenar adalah satu proses yang aktif kepada kanak-kanak berdasarkan keadaan semulajadi mereka. Pendidikan perlu disepadukan dengan kehidupan kanak-kanak. Kanak-kanak perlu dihormati. Pembelajaran perlu dilaksanakan melalui pengalaman dan eksperimen.

1.2.7 MARTIN LUTHER (1483 – 1546)

Beliau mencadangkan pendidikan universal dan wajib, serta menitikberatkan keperluan mendirikan sekolah bagi mengajar kanak-kanak membaca. Luther berpendapat tujuan utama persekolahan adalah untuk mengajar agama.
Beliau menegaskan muzik dan pendidikan jasmani perlu diintergrasikan dalam kurikulum. Luther yakin keluarga merupakan institusi paling penting dalam pendidikan kanak-kanak. Baginya pendidikan dan persekolahan adalah bagi pengajaran sosialisasi, keagamaan dan moral.

MARTIN LUTHER


1.2.8 JOHN AMOS COMENIUS (1592 – 1670)

John Amos Comenius mencadangkan supaya semua kanak-kanak perlu menghadiri sekolah dan sekolah perlu menggalakkan kanak-kanak supaya mereka merasa gembira terhadap diri mereka. Beliau merasakan pendidikan perlu memberi pengalaman pembelajaran yang positif termasuklah kebebasan, kegembiraan, dan keriangan. Beliau juga percaya, pendidikan perlu mengikut aturan semula jadi, mengikut umur dan kaedah yang betul dan mengelakkan pembelajaran secara paksa sebelum kanak-kanak bersedia.

JOHN AMOS COMENIUS
Buku pertama yang ditulis oleh John Amos Comenius adalah kamus bergambar bagi membantu pengajaran kanak-kanak. Beliau mengalakkan integrasi kurikulum dan yakin pembelajaran perlu aktif. Beliau percaya kanak-kanak perlu belajar tulisan dengan menulis, pertuturan dengan bertutur dan taakulan dengan menaakul.
Pembelajaran perlu bermula dari umum kepada khusus dan daripada mudah kepada susah. Beliau menekankan penggunaan bahan konkrit dan deria. Semua deria perlu terlibat bagi pembelajaran yang berkesan, tunjukkan objek dan jelaskan apakan objek itu.Sekolah merupakan bengkel kanak-kanak berkerja dengan penuh minat. Aktiviti adalah sangat penting.











1.2.9 JEAN PIAGET (1896-1980)

Piaget merupakan seorang saintis Swiss yang paling terkenal dan berpengaruh dalam pembentukan teori yang menyokong pendidikan awal kanak-kanak. Beliau terkenal dengan Teori Perkembangan Kognitif kanak-kanak yang diasaskan berdasarkan kajiannya terhadap anak-anaknya sendiri. Kajiannya berkaitan dengan
Pembentukan konsep, pemikiran dan pembelajaran.

JEAN PIAGET

Piaget menjelaskan tiga cara kanak-kanak mengetahui sesuatu. Pertama, melalui interaksi sosial iaitu belajar sesuatu perkara daripada orang lain. Bahasa, tingkah laku yang sesuai dengan budaya dan idea keagamaan adalah contoh-contoh pengetahuan yang diperolehi dengan cara sedemikian.
Kedua, melalui pengetahuan fizikal iaitu pengetahuan fizikal tentang sesuatu benda. Pengetahuan ini diperolehi melalui penerokaan dunia fizikal dan belajar berkenaan bulatan dan segi empat sama,keras dan lembut, panas dan sejuk. Konsep-konsep ini tidak dapat dipelajari tanpa pengalaman dengan persekitaran.
Ketiga, melalui logical-matematik yang meliputi konsep nombor, klasifikasi, masa, hubungan ruang dan keabadian.
Antara sumbangan Piaget yang menjadi amalan pendidik sehingga kini :
teori perkembangan kognitif yang menekankan peringkat deria motor, praoperasi, konkrit dan formal.
Teori konstruktivism menitikberatkan kecerdasan kanak-kanak berkembang melalui pembelajaran yang aktif.
Aktiviti mental dan fizikal adalah penting bagi perkembangan kognitif kanak-kanak.
Kanak-kanak memerlukan pengalaman bagi membentuk struktur mental
Perkembangkan kognitif kanak-kanak adalah melalui interaksi dan penyesuaian dengan persekitaran.
Perkembangan adalah proses berterusan dan hasil kematangan
Menggalakan pembelajaran aktif melalui objek konkrit.


1.2.10 Lev Semerovich VygotsKy
( 1896-1934)




Ahli psikologi dari Russia yang dilahirkan pada tahun 1896. Pernah bekerja di Institute of Psychology in Moscow (1924–34), dan menekankan tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang berhubung kait dengan hubungan antara bahasa dan pemikiran. Penulisan beliau menekankan tentang peranan sejarah, budaya dan faktor sosial yang membentuk pengaruh kognitif kanak-kanak . Meninggal dunia pada tahun 1934 akibat daripada jangkitan penyakit tuberculosis.

LEV SEMEROVICH VYGOTSKY

Kepentingan pemikiran Vygotsky terhadap perkembangan kanak-kanak. Antaranya;
a. Vygotsky.telah menyatakan bahawa telah membuat kajian bahawa persekitaran, budaya dan kebolehan berkomunikasi secara interpersonal banyak membantu perkembangan dan interaksi kanak-kanak. Melalui interaksi kanak-kanak dapat mempelajari pelbagai budaya, gaya pertuturan, penulisan dan pelbagai simbol pengetahuan. Ini dapat membantu kanak-kanak supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya.

b. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan mindanya supaya lebih kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama kanak-kanak itu akan dapat memberi makna yang abstrak dan membolehkannya meningkatkan kemahiran berfikir lebih kreatif dan kritis.
c. Bermain juga dapat mempertingkatkan kebolehan sosialiasi kanak-kanak. Semasa bermain kanak-kanak boleh memahami antara seorang individu dengan seorang individu dari segi kebolehan mengujudkan kemahiran-kemahiran komunikasi seperti, membina hubungan, memberi perhatian, kemahiran mendengar dan interpersonal dan intrapersonal. Boleh memahami peraturan-peraturan sesuatu permainan dengan ini ia akan menjadi seorang kanak-kanak yang sentiasa hormat kepada rakannya.
d. Vygotsky juga telah menekankan bahawa kanak-kanak menjadi lebih konstruktif. Dalam konteks pembelajaran konstruktivisme ianya bermaksud bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud diluar minda tetapi dapat dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar.
e. Menurut Vygotsky i Zon Perkembangan Prokimal (ZPD) bermaksud prestasi pelajar, kebolehan menyelesaikan masalah melebihi kebolehan diri sendiri dan dengan ini mencapai perkembangan peringkat potensi yang berbeza.
f. Disamping proses kognitif, teori konstruktivisme pula menegaskan perkembangan proses metakognitif, iaitu operasi yang mengarahkan dan mengawal kemahiran serta proses kognitif. Ia melibatkan operasi membimbing kanak-kanak untuk mencari makna terutamanya operasi merancang, mengarah dan menilai pemikirannya.


Perkembangan potensi kanak-kanak melalui usaha diri sendiri

Had perkembangan potensi: kanak-kanak tidak boleh belajar walaupun dibantu oleh orang lain.

ZON PERKEMBANGAN PROKIMAL: Kanak-kanak boleh belajar dengan bantuan orang lain.


Kerja tersukar yang boleh dilakukan diri sendiri

Kerja tersukar yang masih boleh dilakukan dengan bantuan orang lain.


RAJAH :Zon Perkembangan Prokimal Vygotsky




TUTORIAL


Bincangkan tentang sejarah dan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak, pengaruh dan tokoh awal pada masa dahulu serta implikasi kepada pendidik masa kini dalam memilih kurikulum dan strategi pengajaran.






1.3 PERKEMBANGAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH1.3.1 Perkembangan Pendidikan Prasekolah Di Luar Negara
Pendidikan prasekolah mula berkembang di Eropah pada abad ke 19 dan di Amerika pada abad ke 20. Ahli-ahli Falsafah Eropah yang terkenal seperti Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel dan Maria Montessori. Froebel adalah orang pertama mendirikan tadika di dunia iaitu di Jerman pada tahun 1837 dan menamakan tadika itu Kindergarten yang bermaksud “Garden of Children”.Prasekolah pertama di dirikan di United Kingdom ditubuhkan oleh Robert Own pada tahun 1816 di Scotland dan diberi nama “The Infant School”.

Di Amerika Syarikat, Prasekolah pertama didirikan pada tahun 1850 oleh Carl Schruz. Seterusnya pada tahun 1860, Elizabert Peabody membuka tadika di Boston. Penubuhan prasekolah di Eropah dan Amerika Syarikat tertumpu kepada kanak-kanak dari golongan yang berada sahaja. Manakala kanak-kanak yang miskin terbiar dan tidak mendapat pendidikan awal.






Program Headstart telah dirancang dan dikelolakan untuk membantu kanak-kanak yang datang dari kawasan mundur dan keluarga miskin. Mereka ditempat kan di satu kawasan dan diberi kemudahan pembelajaran.






Ciri-ciri Program Headstart

a) Penglibatan Ibu bapa
Ibu bapa dilibatkan dalam pengajaran dan pembelajaran, perancangan program dan pengurusan prasekolah.

b) Kesihatan
Program Headstart menyediakan program kesihatan yang meliputi perubatan, pergigian, kesihatan mental dan perkhidmatan makanan bagi kanak-kanak prasekolah.

c) Pemakanan
Pusat Program Headstart juga mengajar kanak-kanak cara-cara untuk menjaga kesihatan diri dan pentingnya memakan makanan yang sesuai dan cara menjaga gigi sendiri.

d) Pendidikan
Setiap orang kanak-kanak menerima pelbagai pengalaman individu untuk memupuk perkembangan sosial, intelek, fizikal dan emosi.

e) Perkhidmatan Sosial
Program ini membantu keluarga berusaha secara diri sendiri untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

f) Ketidakupayaan
Sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pengambilan kanak-kanak adalah kanak-kanak kurang upaya atau keperluan khas.

g) Kesihatan Mental
Ahli professional kesihatan mental bekerjasama dengan pihak prasekolah dan ibu bapa untuk meningkatkan kesedaran masalah khas kanak-kanak.

Di ASEAN, pendidikan prasekolah bermula selepas peperangan Dunia Kedua. Pada tahun 1900an, prasekolah mula ditubuhkan di Filipina, Singapura dan Thailand. Manakala di Malaysia, perkembangan pendidikan prasekolah bermula pada tahun 1940 an.

Aktiviti: 1.7

Jelaskan mengenai program Headstart . Bagaimanakah penglibatan ibu bapa dapat membantu kejayaan program ini?





1.3.2 Perkembangan Pendidikan Prasekolah di Malaysia

1.3.2.1 Zaman Sebelum Merdeka


Pada tahun 1940an prasekolah mula dibuka oleh missionari Kristian dengan pendidikan mengikut pengaruh British. Yuran yang dikenakan sangat mahal dan hanya anak-anak orang berada sahaja mampu belajar di prasekolah itu. Guru-guru prasekolah pula terdiri daripada bekas guru sekolah rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman mengajar di prasekolah.

1.3.2.2 Zaman Selepas Merdeka

Pada tahun 1969, Yayasan Asia telah menyumbangkan wang kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia bagi mendirikan prasekolah yang mirip kepada projek “Headstart” di Amerika Sharikat. Tadika ini telah ditubuhkan di Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg. Manggis dan Kg. Sentosa. Kumpulan sasaran terdiri daripada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari keturunan Melayu, Cina dan India.





Pada tahun 1970,

KEMAS membuka 10 buah prasekolah contoh di kawasan luar bandar yang dikenali Tabika untuk membantu rakyat yang miskin di luar bandar .Diikuti dengan penubuhan prasekolah oleh FELDA, Risda (1980) dan Majlis Perhubungan Masyarakat (1976). Pada tahun 1972, Pusat Perkembangan Kurikulum telah menerbitkan Buku Panduan Pendidikan Prasekolah dan telah membuka 12 buah prasekolah percubaan di seluruh Malaysia.Tahun 1972 Maktab Perguruan Ilmu Khas, Ceras telah melatih seramai 137 orang guru-guru sekolah rendah dan guru-guru KEMAS dalam pendidikan prasekolah untuk mengajar di prasekolah.

KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Tahun 1981, Yayasan Sabah telah menubuhkan Institut Guru-Guru Tadika di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Universiti Malaya. Pada 18 Disember 1991, Jemaah Menteri telah bermesyuarat untuk membincangkan mengenai program prasekolah di Malaysia dan pada 27 Januari 1992, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula bermesyuarat untuk membincangkan mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada mesyuarat di atas, maka Akta Pendidikan 1996, telah menyuarakan mengenai pendidikan prasekolah dalam sistem Pendidikan Kebangsaan. Kesan daripada akta pendidikan prasekolah, maka pada 6 Jun 2001, Jemaah Menteri bermesyuarat khusus untuk program peluasan prasekolah.








Di bawah ini disertakan bilangan kelas perluasan prasekolah Kementerian Pendidikan bermula tahun 2002 hingga 2007.

TAHUN
BILANGAN KELAS
2001
1131 ( sedia ada )
2002
1 200
2003
1500
2004
1500
2005
1500
2006
1500
2007
1600

Jadual 2: Perluasan prasekolah Kementerian Pendidikan (2002-2007)

Selain daripada pertambahan bilangan prasekolah dari tahun ke tahun, bilangan peluasan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut negeri juga bertambah dari setahun ke setahun. Jadual dii bawah menunjukkan pertambahan tersebut.
Bilangan Kelas Prasekolah Peluasan 2004 Berdasarkan Negeri:

NEGERI

BILANGAN KELAS
Kedah
97
Pulau Pinang
46
Perak
196
Selangor
171
W.P. Labuan
3
W.P. Kuala Lumpur
20
Negeri Sembilan
79
Melaka
60
Perlis
15
Johor
196
Pahang
128
Terengganu
101
Kelantan
67
Sabah
148
Sarawak
146




















Jadual 3: Pertambahan Bilangan Kelas Prasekolah Peluasan 2004 berdasarkan Negeri



TUTORIAL
2

1. Huraikan sejarah awal perkembangan pendidikan prasekolah.
2. Bagaimanakah perkembangan pendidikan prasekolah di Malaysia
secara umum.